Lunalynn’s Weblog

Just another WordPress.com weblog

Pulau Pinang…Pulau Mutiara

Salam buat semua…

Puas sudah saya membawa anda semua mengembara ke jajahan Pantai Timur, beralihlah kita ke jajahan di Utara Malaysia. Ke sebuah pulau yang aman sentosa.Sudah semestinya Pulau Pinang, Pulau Mutiara.Saya ke Pulau Pinang dengan menaiki pesawat Air Asia dari LCCT Kuala Lumpur dan mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bersama dua orang rakan baik saya, kami bertemu dengan keluarga angkat saya di sana. Kami disambut dengan begitu mesra dan saya dapat merasakan walaupun kami datang dari negeri yang berbeza, semangat persaudaraan antara kami sangat jelas kelihatan.

 Pagi itu 31 Ogos 2007, sesampai sahaja di Gelugor, kami di bawa ke restoran nasi kandar untuk menikmati sarapan pagi. Sambil menonton perarakan Hari Kebangsaan yang ditayangkan di TV1 RTM, kami menikmati sarapan yang sangat sederhana tetapi sangat sedap. Saya memandu kereta yang dipinjam dari seorang kawan terus ke hotel tempat kami menginap.   

 

Wajah-wajah ceria

  Selepas berehat seketika, saya dan rakan-rakan bersetuju untuk makan tengahari dan sudah semestinya bila berada di pulau syurga makanan ini, kami amat sukar untuk mencari makanan kerana terlalu banyak “variety”. Tidak sah rasanya kalau datang tetapi tidak merasa nasi kandar yang amat popular di sini. Saya makan nasi kandar sampai tak habis kerana terlalu banyak dan rasanya…amat sedap.

  

Nasi kandar                 

  Saya dan rakan-rakan sudah bersetuju untuk pergi ke semua tempat-tempat bersejarah di negeri ini. Destinasi pertama kami adalah ke Padang Kota Lama. Di sana, kami telah pergi ke Fort Cornwallis dan melihat peninggalan-peninggalan sejarah di zaman jajahan British dan kesan-kesan ini masih utuh berdiri sehingga ke saat ini. Susunan-susunan meriam lama dan peluru-pelurunya masih boleh di lihat dan kawasan yang dijadikan kubu suatu masa dulu amat cantik pemandangannya kerana berhadapan dengan laut luas. Selain daripada itu, di sini jugalah terletaknya Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Saya merasakan tempat ini sangat unik. Percantuman dua genarasi, yang lama dan yang baru membentuk satu keharmonian.Bangunan-bangunan lama ala kolonial yang masih dikekalkan dan dipelihara menjadi imej utama Pulau Pinang. Saya sendiri telah di bawa ke kuarters kerajaan yang telah berusia 100 tahun dan binaannya masih kukuh.

     

 Jalan Padang Kota Lama & Fort Cornwallis

     Setelah penat berjalan di sekitar bandaraya, saya dan rakan-rakan menikmati makan malam kami di sekitar jalan Gurney. Saya merasa terpegun seketika kerana terlalu banyak gerai-gerai yang menjual makanan tradisional orang-orang Pulau Pinang seperti asam laksa, rojak buah, pasembur, kuew teow goreng kerang dan pelbagai jenis makanan lagi.Kerana sudah terlalu letih dan rambang mata akhirnya saya memilih kuew teow goreng kerang dan pasembur sebagai juadah makan malam saya hari itu. Makan sambil memerhati pelbagai gelagat manusia di bawah sinaran lampu yang berkerlipan, membuat saya merasakan…Pulau Pinang memang syurga makanan.

 

  Hari pertama berakhir dengan begitu lancar sekali dan hari kedua, saya meneruskan perjalanan. Saya tidak begitu kenal benar selok belok perjalanan di negeri ini tetapi rakan baik saya telah menjadi “tourist gude” dan menbawa kami menjelajah. Kami telah pergi ke beberapa tempat-tempat ibadah yang popular dan cantik binaannya. Lihat saja gambar di bawah ini. Binaan ” sleeping Buddha” ini sangat besar. Tetapi, seni ukirannya sangat menakjubkan.Walaupun percantuman gambar yang saya buat ini tak begitu menjadi, cukuplah gambaran yang “Sleeping Buddha” ini memang besar dan panjang.

 

Sleeping Buddha

 

 Destinasi seterusnya adalah Pagoda. Bangunan bersejarah ini di bina di atas bukit yang begitu tinggi sehinggakan saya terfikir-fikir bagaimana orang dulu-dulu dapat membina bangunan seperti ini dengan hasil kerja yang begitu kemas dan unik. Meninggalkan banyak pengertian supaya generasi yang akan datang menjadi generasi yang rajin dan selalu berfikiran jauh. Di atas Pagoda ini dapat di lihat pemandangan yang cantik.Udara yang segar dan bunga-bunga yang ditanam tumbuh dengan begitu subur dan berwarna-warni.

 

Pagoda

 

 Saya seterusnya meneruskan perjalanan ke Bukit Bendera. Perjalanan  ke Bukit Bendera menaiki gondola tidaklah mengambil masa yang lama. Kami sempat bersenda gurau dengan pelancong-pelancong dari luar dan rata-rata meraka mengatakan mereka suka melancong ke Pulau Pinang. Sesampai saja kami di atas Bukit Bendera, kami pun berjalan-jalan di kawasan sekeliling. Apa yang sangat menggembirakan saya ialah, udara di atas bukit  amat segar dan bersih.Pemandangannya pula amat menakjubkan. Dari atas Bukit Bendera ini, kita dapat melihat pemandangan seluruh negeri Pulau pinang dan juga kawasan pantai yang memutih dengan lambang kemegahannya iaitu Jambatan Pulau Pinang.

 Bukit Bendera

 

  Hari terakhir membawa saya terus meneroka keunikan Pulau Pinang. Saya telah singgah di bazar yang sangat terkenal di sini yang dikenali sebagai Bazaar Chowrasta. Di bazaar ini pelbagai jenis makanan, kain dan pelbagai lagi keperluan harian ada dijual. Saya dana rakan-rakan sempat membeli beberapa jenis buah-buahan yang telah dibuat jeruk. Selain daripada itu, minyak buah pala dan buah salak banyak sekali di jual di sini. Saya tidak melepaskan kesempatan untuk menikmati cendul pulut yang sangat terkenal dijual di sini. Andainya anda singgah di bazaar ini, jangan lupa menikmati cendol yang paling popular ini.

    

 

 Setelah penat membeli belah, kami terpaksa bergegas meninggalkan Bazaar Chowrasta kerana ingin menaiki feri ke perhentian keretapi. Perjalanan menaiki keretapi ke Kuala Lumpur mangambil masa lebih kurang 6 jam. Namun saya merasakan perjalanan itu bagai perjalanan mengejar masa kerana saya dapat menikmati pemandangan yang cantik dari dalam keretapi. Saya masih lagi dalam “mood” yang menggembirakan mengingati semua kenangan-kenangan indah ketika berada di Pulau Mutiara. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Noraini dan Din, Pak Long dan Mak Long sekeluarga di Pulau Pinang kerana banyak membantu sepanjang saya dan rakan-rakan menjayakan ekspedisi kami di sana. InsyaAllah kita akan berjumpa lagi.

 

Batu Feringghi

1 Comment »

  yati wrote @

Jln jgn x jln (10x sebut tau)


Your comment

HTML-Tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>