Hi!!! Jumpa lagi dalam jurnal pengembaraan saya dan kali ini saya ingin membawa semua mengembara bersama saya ke Negeri Terengganu Darul Iman.
Pantai Batu Buruk
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke bumi penyu menangis ni,saya rasa tenang sekali.Hembusan bayu di sepanjang pesisir pantai menuju ke Kuala Terengganu amat menyegarkan. Terasa lapang dada yang sendat dengan pelbagai persoalan kerja.
Destinasi pertama saya ialah Kuala Terengganu.Daerah yang terkenal dengan Pasar Payangnya ini mempunyai penduduk yang begitu ramah dan sangat mudah berkawan.Bagi sesiapa yang tak pernah melihat telur penyu,di Pasar Payang ini begitu ramai orang menjualnya.
Antara warung-warung keropok lekor
Selain kain batik yang begitu terkenal di sini,kain tenunan yang halus dan songket pelbagai jenis juga boleh di dapati di Pasar Payang. Puas saya dan beberapa orang kawan memilih kain batik yang beraneka macam dan warna dan selepas beberapa jam berjalan di Pasar Payang kami terasa penat dan lapar.Setelah kami menikmati nasi dagang dan keropok lekor yang sememangnya sedap, kami terus ke Pantai Batu Burok dan menikmati keindahan pantai yang damai. Ramai kanak-kanak berlari-lari bermain layang-layang. Selepas itu, saya pun ”berposing” menangkap gambar untuk kenangan di hadapan Masjid Terapung.
Masjid Terapung Kuala Terengganu
Hari pertama berlalu dan saya yang kepenatan kerana memandu sepanjang hari dengan mudah melelapkan mata setelah meletakkan kepala di perbaringan.Hari kedua, membawa saya terus ke kawasan pergunungan dan air terjun. Saya terus memandu ke Air Terjun Sekayu yang sememangnya terkenal dengan kesejukan dan kejernihan airnya. Deruan air dan kicauan burung menambahkan lagi rasa kenikmatan berlibur dan membawa saya jauh dari kesesakan lalulintas dan kepadatan manusia di bandar.
Hutan Lipur Sekayu
Puas bermandi-manda di Hutan Lipur Sekayu,kaki terus dihayun ke perhentian seterusnya;Tasik Kenyir.Pemandangan sepanjang perjalanan ke Tasik Kenyir begitu hijau dan udara yang bersih.Tasik yang menyimpan beribu macam misteri di perutnya itu pasti menggamit perasaan ”serun” apabila sesekali melintasnya. Namun semua itu bukan alasan untuk saya berhenti. Saya dan rakan-rakan menaiki bot untuk mengelilingi kawasan Tasik Kenyir. Chalet-chalet yang dibina di persisir gigi air begitu banyak saya temui di sepanjang laluan bot. Kami juga melintasi sangkar-sangkar ikan perliharaan sepanjang laluan itu.Seorang rakan yang berasal dari Terengganu menceritakan bahawa di dalam Tasik Kenyir itu kononnya hidup seekor ikan toman sebesar kereta yang boleh memakan orang sekiranya terjatuh dari bot. Namun begitu, rugi rasanya jika tidak ke Tasik Kenyir setelah sampai ke Terengganu ini. Perasaan takut itu kami buangkan dan kami terus menikmati keindahan Tasik Kenyir hingga terbenamnya matahari.
Tasik Kenyir
Dari Tasik Kenyir saya memandu terus sampai ke Seberang Takir untuk makan malam dan seterusnya memandu lebih kurang 2 jam untuk sampai ke destinasi seterusnya Kemaman.Di Kemaman saya telah menginap di rumah rakan baik saya dan keesokan harinya kami akan berkelah di pantai yang sangat cantik dan masih “virgin”. Pada pagi yang dijanjikan, saya telah memandu sejauh lebih kurang 3km dari rumah rakan saya ke tepi pantai Teluk Kalong. Gabungan “sea”,”sand” and “sun” begitu mesra di sini dan tak dapat saya bayangkan betapa cantiknya ciptaan Allah ini. Kami mandi dan berkelah dan setelah keletihan,kami berehat di bawah rimbunan pohon ru yang tumbuh melata di kawasan pantai. Uadara yang nyaman dan menyegarkan terasa menyelinap ke seluruh ruang roma memberikan saya inspirasi baru untuk meneruskan perjalanan kehidupan yang terbentang luas lagi di hadapan.
Pantai Telok Kalong
Selepas petang itu, saya bersiap sedia untuk pulang semula ke Johor Bahru. Saya berharap, satu hari nanti saya akan datang menjejakkan lagi kaki ke bumi bertuah ini untuk mengintai banyak lagi khazanah alam yang belum saya terokai di sini.Kepada semua rakan-rakan yang berada di Terengganu yang telah membantu menjayakan ekspidisi beratus kilometer ini TERIMA KASIH yang tak terhingga saya ucapkan. Kepada Kak Nainah and family, Mak Cu and family, Ahmad Ashiry and family..InsyaALLAH kita akan berjumpa lagi.










Congrats nice work!!! Can’t wait ur journey afterwards.